Cerita Artis Selebriti Malaysia hari ini,
JELAS terbayang kelibat anak singa yang comel lagi manja, Simba dan ayahnya, Mufasa, di fikiran penulis tatkala lagu Can You Feel The Love Tonight berkumandang di Arena of Stars, Selasa lalu.
Puas sungguh. Hakikat ini kerana lagu itu bukan dinyanyikan penyanyi sembarangan sebaliknya si empunya diri yang mula-mula sekali mempopularkan lagu itu. Siapa lagi kalau bukan bintang legenda, Sir Elton John.
Bagaimanapun jenuh juga penulis dan ribuan penonton lain menantikan lagu itu untuk bergema kerana ia hanya berlaku selepas lebih dua jam setengah Elton menyanyi lagu-lagu lain sambil memetik ‘grand piano’ yang tampak begitu karismatik di pentas.
Demikianlah kuatnya aura Can You Feel The Love Tonight yang pernah menghiasi filem animasi terbaik daripada Walt Disney Pictures, The Lion King terbitan 1994. Filem itu sendiri menjadi sebuah karya yang terhebat kerana lagu-lagunya cetusan karya Elton bersama penulis lirik Tim Rice dengan skor muzik yang gagah oleh Hans Zimmer.
Selain lagu itu, Elton yang juga pemenang Grammy dan Oscar, turut menyanyikan lagu-lagu malar segar atau evergreen beliau yang cukup digemari peminat di Asia seperti Sacrifice, Don’t Let The Sun Go Down On Me, Sorry Seems To be The Hardest Word, Circle of Life dan lagu khas untuk mendiang Lady Diana Spencer, Candle In The Wind.
Seperkara yang sangat nyata, konsert beliau bersih. Bersih dalam erti kata dekorasi pentas, imej mahupun komunikasi. Biarpun konsert itu mendapat bantahan sekumpulan pihak yang mempersoalkan identiti diri beliau yang mengakui seorang gay, perkara itu tidak pernah menghalang lebih 5,000 peminat pelbagai bangsa termasuk pelancong asing untuk datang ke Arena of Stars.
Melihat sambutan hangat peminatnya itu, Elton terus memetik dan memetik piano beliau sambil menyanyikan lagu-lagunya tanpa henti bermula jam 8.15 malam.
Dalam hawa sejuk di luar puncak Genting Highlands, konsert itu dipanaskan dengan kebanyakan lagu rock ‘n’ roll pada awal hingga pertengahannya dan setiap kali selesai persembahan, semua memberikan tepukan gemuruh.
Membawa kepada segmen akhir, barulah Elton mula menyampaikan lagu-lagu balada beliau yang diminati ramai. Disebabkan penonton yang datang memberikan sambutan hangat, Elton meluahkan rasa terharunya.
Dia akui ke mana saja pergi di seluruh dunia, dia sentiasa bertemu penonton yang berbeza namun apa yang sama, semuanya memberikan sokongan yang sangat hebat kepada dirinya.
Lagu-lagu yang diperdengarkan Elton pada persembahan yang bertemakan Elton John & Band Greatest Hits Tour in Malaysia itu juga ada yang dipetik daripada album terbarunya, The Union yang diedarkan pada 2010.
Antara lagu lain yang berkumandang pada malam itu adalah Saturday Night’s Alright, Rocket Man, Standing, Levon, Madman, Holiday Inn, Tiny Dancer, Philly, Goodbye Yellow Brick Road, Hey Ahab, Gone to Shiloh, Monkey Suit, Honky Cat, Sad Songs, Daniel dan Your Song.
Beliau diringi sekumpulan pemuzik profesional iaitu Davey Johnstone, Nigel Olsson, Bob Birch, Kim Bullard dan John Mahon termasuk dua pemain cello, Luka Sulic dan Stjepan Hauser. Konsert di Malaysia itu adalah projek pertama yang dibawakan Tune Live, anak syarikat Tune Group.
Suara yang enak juga datang daripada empat penyanyi latar beliau iaitu Rose Stone, Lisa Stone, Tata Vega dan Jean Witherspoon.
Elton atau nama sebenarnya, Reginald Kenneth Dwight, 64, berasal dari Middlesex, England. Beliau mula berjinak-jinak dengan bidang seni sejak pertengahan 1960-an lagi dengan mempamerkan kebolehan bernyanyi, bermain muzik dan mencipta lagu.
Dalam tempoh empat dekad, Elton sudah menghasilkan album yang terjual mencecah 250 juta unit hingga meletakkan beliau sebagai salah seorang artis paling berjaya di dunia.
Lagu Candle In The Wind yang diterbitkan pada 1997 saja pernah terjual melebihi 33 juta unit di seluruh dunia. Pada 2004, majalah Rolling Stone menyenaraikan beliau sebagai salah seorang daripada 100 artis terbaik sepanjang zaman.
Selain menyanyi, Elton juga aktif dalam kerja kebajikan malah Yayasan Aids beliau berjaya mengutip lebih AS$220 juta sejak 1992 bagi dimanfaatkan kepada 55 negara.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Donate to Wikileaks.
Follow this link:
Vokal emas Elton menyilau
- Category: Media
- Tags:blue, elton, facebook, grammy, harian-metro, kongsi-artikel, news, opera, rap, sakit-puan, sertai-komuniti-mymetro












No Responses to “Vokal emas Elton menyilau” Leave a reply ›