Cerita Artis Selebriti Malaysia hari ini,
TAJUKNYA saja sudah cukup untuk membuatkan orang ingin tahu dan itu diakui pengarahnya, Khalid Salleh apabila ada bertanya, ‘cerita ini mengenai anjing ke? Atau siapa orang macam anjing itu’ apabila mahu mementaskan teater Anjing Untuk Diplomat.
Khalid atau mesra dengan panggilan ‘Wak’ di kalangan aktivis seni, buat julung kalinya sepanjang berkecimpung dalam dunia seni teater selama 48 tahun, mementaskan teater yang menggabungkan barisan pelakon teater Malaysia dan Singapura.
Teater Anjing Untuk Diplomat yang akan dipentaskan selama tiga hari mulai 28 Oktober ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, sebenarnya bakal menjadi ujian baru buat Khalid.
Katanya, teater ini diangkat daripada naskhah penulis Singapura, Hamed Ismail yang muncul pemenang Anugerah Persuratan Melayu Singapura 1993 dan pernah memenangi anugerah sama untuk skrip drama televisyen berjudul Antara Pasrah dan Fitnah dan Masih Ada Bintang di Turki.
“Pementasan ini juga adalah naskhah penulis luar kedua saya ketengahkan selepas Si Kebayan penulis Indonesia (Sunda), Utuy Tatang Sontani pada 1976.
“Selepas 35 tahun, saya diberi tawaran ini sewaktu menjadi fasilitator ketika menerima kunjungan program Ziarah Seni dari Singapura, dua tahun lalu.
“Cabarannya memang besar kerana saya berulang-alik ke Singapura setiap minggu selama tiga bulan sejak Julai hingga minggu lalu. Kami hanya berlatih pada Sabtu dan Ahad dan ada kalanya sukar mendapatkan semua pelakon kerana masing-masing sibuk dengan urusan lain.
“Memang menguji segala-galanya kerana biasanya teater arahan saya menjalani latihan padu setiap hari selama tiga bulan sebelum dipentaskan.
“Apapun, saya menganggap cabaran besar teater Anjing Untuk Diplomat adalah menghidupkan karakter dramatik dan mengangkat sub teks bagi memastikan kepuasan peminat menerusi lenggok badan dan ekspresi ditonjolkan,” katanya dalam satu temuramah di DBP, baru-baru ini.
Khalid, juga penyair, penulis buku dan penulis pojok di beberapa akhbar dan majalah, menerima penghargaan terbesar karier lakonan apabila menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei pada 1998 menerusi watak sebagai Mamat dalam filem Jogho.
Mengenai teater Anjing Untuk Diplomat, kata Khalid, teater ini mengenai kisah berlaku sebelum merdeka di Malaya. Ia mengenai kisah seorang diplomat Perancis dengan gaya hidup berfoya-foya dan isterinya juga mempunyai kecenderungan sama.
“Masing-masing ada agenda tersendiri melalui hubungan dengan kerabat diraja hingga mencetuskan konflik dan kerabat terbabit juga memberi ganjaran kepada salah seorang.
“Selain itu, ada juga berkisar mengenai sikap optimis untuk tujuan perniagaan dan yang lain saya rasa perlu dilihat sendiri oleh penonton pada pementasan ini.
“Apa yang pasti, saya tidak mahu terikat dengan latar masa tertentu, sebaliknya cuba memberi pendekatan semasa dan paling penting mengangkat sesuatu yang tersembunyi.
“Saya mengingatkan diri memberi perincian terbaik apabila mengangkat naskhah orang lain. Karya orang lain adalah sesuatu yang sensitif. Siapa suka jika naskhah mereka menjadi lain daripada apa ditulis atau disampaikan sesuka hati oleh pengarah yang diberi tanggungjawab menyampaikan mesej.
“Teater mengenai tuntutan visual dan naskhah Hamed pula memang diakui sebagai pemenang Hadiah Nasional di Singapura. Jadi, penekanan kepada maksud sangat penting dan paling diutamakan adalah intonasi daripada pelakon dan memberi roh kepada inti persoalan,” katanya.
Khalid yang sebelum ini mengarahkan teater naskhah sendiri, Umbut Mayang Mengurai, Si Bereng-Bereng dan Brang, Bring, Brong mengakui tidak pernah berpuas hati dengan mana-mana teater diarahkan.
“Saya perlu memastikan ia sampai kepada penonton kerana teater ada kekuatan yang terletak pada aksi spontan di atas pentas yang membentuk karakter.
Kontroversi? Ia berlaku jika tidak faham atau terlalu taksub. Apapun, saya berharap dapat membawa teater Anjing Untuk Diplomat dipentaskan di Singapura selepas ini,” katanya.
Barisan pelakon Anjing Untuk Diplomat adalah Mohsin Saleh sebagai Pierre Blanc, Mastura Ahmad (Sonja), Mazlan Amat (Tengku Kamarudin), Nur Sahirrah Safit (Sally), Adib Kosnan (Tan Ah Kim) dan Jamil Yunos (Wak Arjo).
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters featured article: A 'Malign Intellectual Subculture' - George Monbiot Smears Chomsky, Herman, Peterson, Pilger And Media Lens.
Continue reading here:
Ujian getir buat Khalid
- Category: Media
- Tags:anjing, anjing-untuk, arena, blue, chrome, diplomat, firefox, metro, pakistan, rap












No Responses to “Ujian getir buat Khalid” Leave a reply ›