Cerita Artis Selebriti Malaysia hari ini,
PROGRAM realiti TV sebelum ini dikatakan lebih memberi ruang kepada individu yang memiliki pakej diri tampan dan cantik untuk bergelar artis hingga ada peserta berbakat tapi kurang dari segi penampilan awal-awal lagi akan menamatkan perjuangan.
Atas dasar itulah, peluang sama dibuka untuk mencungkil bakat golongan yang mungkin kurang daripada aspek penampilan diri, tetapi memiliki vokal hebat melalui Vokal... Bukan Sekadar Rupa terbitan TV3 yang mula bersiaran pada 16 Oktober lalu di Sri Pentas 2, Plaza AlamSentral, Shah Alam.
Seramai 10 peserta bertuah dipilih untuk bertanding me-ngetengahkan bakat nyanyian mereka. Namun, tiga daripadanya tersingkir ketika sesi pemilihan juri dan kini ketika persaingan minggu pertama untuk penyingkiran, hanya tujuh peserta yang bersaing.
Justeru, bagaimanakah nasib peserta pada minggu ini? Semuanya bergantung kepada sejauh mana persembahan yang akan ditampilkan nanti. Apapun, rating penonton TV3 yang menyaksikan program ini setiap Ahad, jam 9 malam mencecah 2.5 juta orang.
Apakah program ini mampu mengangkat mereka yang benar-benar mempunyai bakat tanpa melihat penampilan mereka, ikuti temu bual wartawan Harian Metro, NORHAYATI NORDIN (yati@hmetro.com.my) dan jurufoto Khairull Azry Bidin bersama Erra mengenai prestasi peserta serta cabaran Erra mengendalikan program yang bersandarkan bakat dan bukan rupa.
RAP: Bagaimana anda melihat prestasi peserta setakat ini?
ERRA: Secara jujurnya, saya belum nampak lagi peningkatan sebenar peserta.
Namun, tahap keyakinan mereka sudah ada, tetapi banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki. Apapun, masih terlalu singkat untuk saya menilai kemampuan peserta pada minggu pertama penyingkiran.
Bagaimanapun, persaingan minggu kedua Ahad ini pastinya satu cabaran besar kepada peserta kerana diberi peluang membuat pilihan lagu sendiri. Itu bermakna, peserta memperoleh ruang untuk mendendangkan lagu yang menjadi ‘makanan’ mereka kepada penonton.
Justeru, diingatkan perlu berhati-hati dengan pilihan lagu sendiri kerana semestinya kekurangan dan kelemahan persembahan peserta lebih ketara dilihat.
Oleh itu, jika memilih lagu Inggeris, peserta perlulah memastikan patah perkataan disebut betul dan tepat.
RAP: Ada yang melihat Mafa mampu menjadi juara. Bagaimana dengan pilihan anda?
ERRA: Setakat ini, saya belum ada pilihan juara. Mengenai Mafa, tak dinafikan dia memiliki kelebihan vokal terutama alunan lenggok lagu tersendiri.
Bagaimanapun, perlu diingat peserta yang dianggap lemah mampu memberikan kejutan. Sehubungan itu, Mafa tidak boleh berasa dia kini berada di tahap selesa kerana masih ada peserta lain yang mampu menandinginya.
Saya juga yakin, tiada peserta yang akan berdiam diri dan pastinya mereka bangkit bekerja keras untuk menyaingi Mafa. Ditambah lagi, format program realiti yang memberi peluang kepada penonton untuk me-ngundi peserta pilihan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sebanyak 50 peratus. Justeru, dalam soal ini penonton lebih tahu siapa yang mereka pilih.
Oleh itu, di posisi juri sekarang, saya tidak mahu seorang pun peserta berasa terlalu yakin dengan pencapaian mereka kerana buat masa ini, setiap orang belum berada di tahap selamat. Segala kemungkinan boleh berlaku tanpa diduga.
RAP: Cabaran anda dalam menilai peserta?
ERRA: Dalam penilaian peserta, selaku juri, saya dan Azmeer diberi tugasan berbeza. Azmeer bertanggungjawab 100 peratus menilai peserta daripada aspek vokal. Manakala saya bersandarkan pengalaman menyanyi mengadili peserta daripada segi prestasi persembahan.
Ingin menjadi penyanyi yang bagus dan berjaya bukan sekadar bergantung kepada kemantapan vokal saja, tetapi gerak persembahan bertenaga juga diambil kira.
Bahkan, untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada sekarang, peserta juga perlu ada ‘x faktor’.
Justeru, dalam soal ini peserta perlu memikirkan apa saja kelebihan yang mereka ada untuk ditonjolkan. Berusaha cari dan cungkil elemen lain yang ada dalam diri anda untuk diketengahkan di pentas bagi penilaian juri serta menarik perhatian penonton.
RAP: Sejauh mana program ini membantu hala tuju peserta?
ERRA: Soal hala tuju, program ini adalah satu-satunya platform untuk individu yang tiada pakej rupa, tetapi memiliki bakat dalam nyanyian. Jadi, jika bakat itu terpinggir sebelum ini, dengan peluang muncul di televisyen kini, ia sedikit sebanyak membantu mereka dikenali.
Oleh itu, peserta mestilah meningkatkan usaha bagaimana mahu mengetengahkan diri sendiri termasuk memikirkan cara menembusi pasaran industri hiburan sebenar selepas program ini berakhir. Jangan fikir sudah ada tempat untuk anda.
Dalam industri yang sebenar, tawaran kerja takkan datang bergolek kepada anda hanya kerana pernah menyertai program realiti TV. Peserta perlu sedar program ini adalah ‘pembuka pintu’ saja untuk anda dikenali dalam industri ini.
Selebihnya untuk berjaya menjadi penghibur terkenal dan bertahan lama, semuanya bergantung pada usaha serta kerja keras anda.
Justeru, diingatkan kena ada strategi tersendiri dan jangan sesekali lalai, bangga dengan apa yang sudah dimiliki.
RAP: Pandangan anda terhadap komen Azmeer?
ERRA: Saya hormati Azmeer kerana dia ada cara kerja tersendiri. Dia mungkin nampak sangat lantang bersuara dalam melontarkan komennya, tetapi perlu diingat ada juga peserta yang perlu diberi tekanan lebih oleh juri barulah mereka tersedar untuk membuat terbaik.
Namun, ada juga kelompok peserta yang tidak boleh menerima teguran atau kritikan keras daripada juri, maka saya wujud di situ untuk menenang-kan keadaan. Cara saya pula, kalau peserta itu bagus, saya katakan dia bagus dan jika tidak, tidaklah.
Apa yang pasti, cara saya dan Azmeer dalam memberi komen kepada peserta mungkin tidak sama, tetapi tujuan kami serupa iaitu mencari yang terbaik. Dalam soal ini, peserta mestilah bukan sekadar boleh menyanyi dengan bagus, tetapi mampu menjadi penghibur pada masyarakat.
RAP: Apakah pesanan anda untuk peserta?
ERRA: Ingin saya ingatkan kepada peserta, selama anda berada dalam pertandingan ini perlulah memberikan 110 peratus komitmen dan persediaan terbaik dalam persembahan. Jangan takut untuk menonjolkan persembahan yang mantap kepada penonton.
Inilah masanya buktikan kepada masyarakat bakat yang anda miliki. Anda sudah berada di platform yang menyediakan peluang untuk dikenali. Justeru, sama ada terus kekal hingga ke peringkat akhir atau tersingkir di tengah jalan, usah gentar.
Jangan sesekali berputus asa atau berhenti daripada meneruskan perjuangan mengejar kejayaan sekalipun kecundang. Anda mestilah menjadi lebih berani termasuk berkeyakinan tinggi bahawa pasti berjaya jika terus berusaha. Jadilah, artis yang bijak merancang.
Oleh itu, seperti saya katakan strategi sangat penting.
Biarpun tiada pakej, tetapi jika anda bijak merancang strategi pasti boleh pergi jauh. Ada banyak contoh artis berjaya di negara ini yang pernah kecundang pada awalnya. Namun, mereka gigih berusaha dan akhirnya berjaya.
Umpama pepatah, ‘di mana ada kemahuan pasti di situ ada jalan’. Oleh itu, pada setiap minggu persaingan peserta haruslah tanamkan pada diri untuk tampil dengan persembahan hebat. Sekarang masa untuk tonjol sepenuhnya dan bukan sedikit demi sedikit.
RAP: Harapan anda pada program ini?
ERRA: Saya melihat apa yang dilakukan ini bukan untuk melahirkan artis pelapis semata-mata, tetapi Vokal... Bukan Sekadar Rupa berusaha mencungkil bakat penyanyi yang mampu menjadi penghibur disegani dalam industri hiburan suatu hari nanti.
Ia tidak bertujuan meramaikan insan seni, namun mengharapkan sesiapa yang sememangnya memiliki bakat tampil untuk mencabar kemampuan diri. Teruskan usaha dan yakin pada potensi diri anda. Apapun, bersyukurlah anda dianugerahkan Tuhan vokal yang bagus.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Donate to Wikileaks.
Originally posted here:
‘Tiada sesiapa di tahap selamat’
- Category: Media
- Tags:chrome, facebook, kongsi-artikel, metro, metroplus, news, rap, sakit-puan












No Responses to “‘Tiada sesiapa di tahap selamat’” Leave a reply ›