Cerita Artis Selebriti Malaysia hari ini,
JIKA dihitung jumlah drama dan filem lakonannya sepanjang aktif pada 1997, aktor Korea, Won Bin sekadar membintangi lima filem dan tujuh drama. Namun, dalam jumlah itu, dia mampu melonjakkan namanya dan memastikan diri berada pada tahap kukuh.
Cemerlang dengan langkah diambil, Won Bin yang mula dikenali menerusi drama Propose pada 1997, semakin menjadi perhatian peminat sekitar tahun 2000 menerusi drama hebat lakonannya, Autumn In My Heart dan Tough Guy’s Love (Kkokji).
Begitu pun, Won Bin juga mencipta kejayaan membanggakan di layar perak apabila dia berjaya meraih pelbagai anugerah berprestij. Malah, tahun lalu dia meraih anugerah Aktor Terbaik dan Anugerah Aktor Paling Popular di Grand Bell Awards.
Bagaimanapun, untuk 2011 di Grand Bell Awards atau kini dikenali sebagai ‘48th Daejong Film Awards’ yang berlangsung baru-baru ini, Won Bin menjadi pilihan pemenang Anugerah Aktor Paling Popular untuk kali kedua. Justeru, ia sangat mengejutkan.
Ini kerana tiada drama dan filem baru dilakonkan Won Bin untuk tahun ini dan dia masih menjadi pilihan peminat. Menerusi filem The Man from Nowhere seperti tahun lalu, Won Bin berjaya membuatkan penonton tidak mampu melupakan lakonannya.
Sepanjang majlis anugerah itu berlangsung, undian di Internet dibuka kepada penonton bagi memilih aktor dan aktres pujaan mereka untuk memenangi Anugerah Paling Popular. Ternyata, Won Bin tiada saingan kerana dia amat disanjungi peminat.
Dalam ucapan ringkasnya di pentas sebaik menerima penghargaan itu, Won Bin dengan reaksi seperti tidak percaya pada kemenangannya memaklumkan agak sukar untuk dia terima anugerah berkenaan. Ujarnya, sudah tentu ada aktor lain yang lebih layak.
“Saya tidak pasti apakah layak menerimanya. Anugerah ini sangat besar maknanya bagi aktor dan aktres yang menyumbang dalam industri seni Korea pada masa kini. Apa yang pasti, saya tiada sebarang projek filem sepanjang tahun ini.
“Oleh itu, terima kasih tak terhingga diucapkan kepada peminat yang menyokong saya. Tak dinafikan, saya amat terkejut kerana masih lagi popular dan diterima baik peminat. Ini penghargaan yang cukup besar pernah saya miliki,” katanya.
Pengacara majlis, Jang Seo Hee yang berdiri di sebelah Won Bin terus mencelah dengan berkata, hanya menatap wajah aktor itu, sudah mampu membuatkan sesiapa saja gembira. Katanya, Won Bin memiliki mata yang menjadi impian ramai.
“Tidakkah awak (Won Bin) sedar, ramai orang ingin memiliki mata seperti awak? Mata yang menjadi perhatian dan berupaya membuatkan orang lain gembira. Memang, tidak pernahkah awak terfikir akan keinginan peminat untuk jadi seperti awak?” katanya.
Won Bin hanya menjawab ringkas bahawa dia tidak pernah terfikir seperti itu sebelum turun dari pentas. Malah, ketika ditemui media, dia turut memberitahu sangat bersyukur kerana terpilih untuk membintangi filem The Man from Nowhere.
“Saya ingin ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak yang mempercayai bakat lakonan saya untuk turut serta menjayakan projek filem sehebat The Man from Nowhere, tahun lalu. Saya harap akan ada peluang baru lagi,” katanya.
Menyorot perjalanan karier Won Bin, dia mengambil keputusan meninggalkan industri seni seketika pada 2005 kerana menyertai latihan ketenteraan Korea secara sukarela selama dua tahun. Bagaimanapun, pada 7 Jun 2006, Won Bin disahkan menarik diri.
Dia tidak boleh meneruskan perkhidmatan dalam tentera kerana faktor kesihatan. Won Bin mengalami kecederaan kaki yang serius hingga memerlukan dia dibedah serta menjalani rawatan pemulihan. Lebih setahun Won Bin dirawat sebelum kembali pulih.
Pada 2008, Won Bin memulakan karier lakonannya semula dengan membintangi filem Mother arahan Bong Joon-ho. Filem itu menemui penonton pada Februari 2009 serta layak bertanding di Festival Filem Cannes. Won Bin, nyata bijak membuat pilihan.
Kemunculan semula pada 2012
SELEPAS agak lama berehat daripada dunia lakonan, Won Bin dilaporkan bersiap sedia untuk kembali membina namanya sebagai pelakon popular dan terkenal Korea, tahun depan. Tidak beraksi di layar perak, Won Bin menerima projek drama hebat.
Menurut sumber, Won Bin kemungkinan akan berlakon drama terbitan stesen TV MBC sebagai watak utama. Bertemakan fantasi romantik komedi, drama yang belum dimaklumkan apa judulnya itu sudah dijangkakan bakal menjadi perhatian penonton.
Apapun, dikatakan jalan cerita drama itu agak berat kerana mempunyai kaitan hubungan di antara Korea Selatan dan Korea Utara. Turut dikatakan, ada juga elemen politik dan diplomasi walaupun jalan ceritanya berkisar dugaan percintaan.
Memandangkan drama ini agak hebat dan luar biasa, proses perbincangan produksi saja mengambil masa selama satu tahun. Apapun, penting untuk Won Bin membuat kemunculan semula kerana sudah sembilan tahun dia tidak menghasilkan drama.
Kali terakhir lakonan Won Bin pastinya dalam drama usaha sama antara Korea dan Jepun, Friends pada 2002. Dalam drama terbitan stesen TV MBC dan TBS itu, Won Bin melakonkan watak utama, Kim Ji-honn di sisi aktres jelita Jepun, Kyoko Fukada.
PROFIL
NAMA: Kim Do-jin
PANGGILAN KOMERSIAL: Won Bin
TARIKH LAHIR: 10 November 1977
ASAL: Korea Selatan
PENDIDIKAN: Yong-In University, Baekje Arts College
KARIER: Aktor, model
STATUS: Bujang
MULA AKTIF: 1997
TINGGI: 1.78 meter
DRAMA: Propose (1997), Ready, Go! (1998), Kwangki (1999), Small Station, Tough Guy’s Love (Kkokji), Autumn in My Heart (2000), Friends (2002)
FILEM: Guns & Talks (2001), Taegukgi, My Brother (2004), Mother (2009), The Man from Nowhere (2010)
ANUGERAH: KBS Drama Acting Awards - Best Newcomer (1999), KBS Drama Acting Awards - Excellence in Acting (2000), (37th) PaekSang Arts Awards - Best Newcomer (2001), (12th) Chunsa Film Art Awards - Best New Actor, (27th) Golden Cinematography Awards - Best New Actor (2004), (47th) Grand Bell Awards - Best Actor, Popularity Award, (8th) Korea Film Awards - Best Actor, (31st) Blue Dragon Awards - Popularity Awar, (6th) University Film Festival of Korea - Best Actor (2010), (2nd) Film Journalists Association Annual Film Awards (Korea) - Best Actor, (8th) MaxMovie Awards (Korea) - Best Actor, (48th) Daejong Film Awards - Popularity Awards (2011)
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters featured article: A 'Malign Intellectual Subculture' - George Monbiot Smears Chomsky, Herman, Peterson, Pilger And Media Lens.
Follow this link:
Segak di mata, kekal di hati
- Category: Media
- Tags:acting, awards, chrome, facebook, festival, firefox, internet, metro, opera, rap, sakit-puan, segak-di-mata












No Responses to “Segak di mata, kekal di hati” Leave a reply ›