Cerita Artis Selebriti Malaysia hari ini,
WATAK antagonis lakonannya iaitu lelaki yang sanggup buat apa saja termasuk menganiaya orang dan bermuka-muka demi mencapai cita-citanya dalam drama bersiri 20 episod Kekasihku Puyu, sedikit sebanyak meninggalkan kesan mendalam pada penonton.
Malah, ramai yang menganggap, lakonan Rizal Ayub sebagai Habib dalam cerita yang mengisi slot Lagenda di TV3 itu memang ada peningkatan bagi pelakon baru sepertinya. Dengan watak itu, Rizal atau nama sebenar, Hasfarizal Ayub, 25, kembali meraih perhatian peminat di persada hiburan tanah air.
Kata Rizal, watak Habib adalah karakter jahat paling mencabar buatnya, sejak empat tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.
“Saya pernah bawa watak jahat, tetapi tidak sejahat karakter Habib dalam cerita ini. Kekasihku Puyu menceritakan mengenai Bidasari (lakonan Intan Ladyana) terkena sumpahan kerana Habib yang bekerja di syarikat bapanya berasa sakit hati padanya kerana dia tidak dinaikkan pangkat sepanjang bekerja di sana.
“Habib dan tukang sihir (Mak Jah), menyihir Bidasari menjadi Puyu. Habib juga ada skandal dengan ibu Bidasari (lakonan Zarina Zainuddin),” katanya.
Sebagai pelakon, akui Rizal, dia sudah berusaha menjiwai watak diserahkan itu sebaik mungkin mengikut kemampuan diri.
“Alhamdulillah, setakat ini, maklum balas yang diterima dari penonton juga baik. Saya bersyukur kerana lakonan sebagai Habib dalam cerita itu diterima peminat TV3 dan ia sesuatu yang cukup positif dalam karier seni saya.
“Pada masa sama, ia drama lakonan saya yang pertama di TV3 kerana saya banyak berlakon untuk stesen TV lain sebelum ini,” katanya.
Ditanya, watak diimpikannya dalam lakonan, kata Rizal, dia menanti tawaran berlakon watak remaja yang liar.
“Saya suka bawa watak jahat kerana orang cepat ingat dengan lakonan sedemikian.
Justeru, saya tidak kisah jika sering ditawarkan watak jahat dalam drama. Apa yang penting, watak itu ada kelainan.
“Saya melihat semua watak ditawarkan pada saya setakat ini ada cabarannya tersendiri. Sama ada watak itu utama atau pembantu, ia tetap mencabar kemampuan saya.
“Sebagai pelakon, tanggungjawab saya hanya memberikan yang terbaik pada penonton. Setiap tawaran yang datang, saya melihatnya sebagai rezeki dari Allah dan tidak ingin menolaknya.
“Saya juga menganggap diri masih baru walaupun sudah empat tahun berlakon. Ada orang sudah 10 tahun berlakon, tapi masih anggap diri masih belajar dalam bidang seni,” katanya.
Tawaran berlakon terus mencurah buat Rizal pada tahun ini. Terbaru, Rizal berlakon dalam drama bersiri 26 episod, Cinta Berkalong Duri arahan Haris Fadzilah untuk stesen RTM.
“Saya bawa watak baik, Arif yang juga adik kepada Zul Huzaimy bergandingan dengan pelakon Puteri Sarah. Ada konflik membabitkan Arif dan abangnya dalam cerita ini. Bapa Arif pula dilakonkan Jalaluddin Hassan. Selain itu, saya juga bakal beraksi dalam beberapa projek lain tapi masih dalam perbincangan,” katanya.
Sepanjang empat tahun berlakon, Rizal sudah beraksi dalam banyak drama iaitu Bulan Bertemu Matahari arahan Erma Fatima yang julung kali memberi kepercayaan padanya berlakon dalam drama arahannya. Antara drama lain ialah KL Menjerit The Series untuk Astro, Elit, Cintaku Di Mukah (RTM), Akademi Polis dan sebagainya lagi.
Mengenai karier nyanyiannya pula, kata Rizal yang dicungkil bakatnya dari program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5), dia tidak sesekali melupakan bidang nyanyian yang sudah sebati dalam dirinya, sejak dulu.
“Saya bermula dari bidang nyanyian dan meminati kedua cabang seni sekali gus.
Saya juga menyanyi dan berlakon pada masa sama dan saya harap ia bergerak seiringan.
“Walaupun empat tahun berlakon, tiada publisiti kerana saya sibuk buat pelbagai acara dan kerja belakang tabir. Tidak ketinggalan, memenuhi pelbagai undangan persembahan,” katanya.
Sekalipun sudah empat tahun (sejak 2007) terbabit dalam bidang seni, Rizal memutuskan untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan Aquila Emas Sdn Bhd, sejak April lalu. Dia juga mengikat kontrak selama dua tahun di bawah syarikat pengurusan berkenaan.
Kata Rizal, dia memilih untuk bernaung di bawah Aquila Emas bagi memastikan karier seninya berjalan lancar.
“Saya percaya, syarikat akan membantu menguruskan karier seni secara profesional serta membantu saya membina nama kukuh dalam arena seni suara dan lakonan.
“Saya juga banyak buat pembaharuan membabitkan karier lakonan tahun ini.
“Selepas berbincang dengan pihak pengurusan, kami sepakat untuk tukar nama saya, jenama Rizal Ayub dan bukan Rizal AF lagi kerana program realiti TV itu sudah pun berakhir,” katanya.
Berkongsi mengenai teman istimewa, kata Rizal, dia masih belum mempunyai teman istimewa lagi.
“Kawan biasa itu adalah. Saya ingin fokus pada karier seni dulu dan biarlah saya fikir untuk cari duit dulu,” katanya.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Donate to Wikileaks.
See the original post:
Rizal suka jadi jahat
- Category: Media
- Tags:arena, blue, facebook, firefox, harian-metro, kekasihku-puyu, kongsi-artikel, rizal, sakit-puan, sertai-komuniti-mymetro, versi-mobile












No Responses to “Rizal suka jadi jahat” Leave a reply ›