Cerita Artis Selebriti hari ini,
Hip
Nabil bijak sesuaikan diri dalam keluarga barunya
SERI pengantin dan kegembiraan jelas terpancar pada wajah pengantin baru, Ahmad Nabil Ahmad bersama isteri tersayang, Nazirah Ayub, ketika Hip berkunjung ke kediaman ibu mentua pelawak terkenal terbabit, di Taman Seri Andalas, kira-kira tiga minggu selepas pasangan itu disatukan.
Bukan sekadar mood bulan madu mereka masih dapat dirasakan, malah Nabil sendiri bijak menyesuaikan diri dalam keluarga barunya itu, dengan jenaka spontan yang sememangnya membuatkan seluruh isi rumah tersenyum, kadang kala ketawa terbahak-bahak menyambut lawaknya.
Bapa mentua Nabil, Ayub Hassan, tidak jemu-jemu melayan kerenah dan lawak menantunya dan sepanjang dua jam berada di rumah orang tua isteri pelawak ini, terasa keseronokannya. Setiap detik, ibu mentuanya, Zaharah Zainal, dan dua anak buah Nabil, sentiasa dalam keadaan ceria.
Ketika melangkahkan ke kediaman yang terletak di Klang itu, wartawan dan jurugambar Hip seperti langkah kanan apabila Nabil dan bapa mentuanya sedang sibuk membantu Zaharah memasak pisang goreng di dapur, manakala si isteri pula sibuk membancuh teh panas untuk hidangan minum petang.
Bukan saja Nabil yang suka mengusik, sesekali si bapa mentuanya turut membalas usikan berkenaan. Maka bermulalah episod usik-mengusik yang diakhiri ketawa besar Nazirah bersama ibunya, melihat dua insan kesayangan mereka bergurau senda.
Seperti keluarga yang cukup bahagia, Nabil seolah-olah sudah terlalu lama mengenali ibu dan bapa Nazirah sehingga dia kelihatan langsung tidak kekok langsung berada di rumah wanita yang baru dikahwininya itu. Malah wajahnya yang cukup ceria itu memperlihatkan dia benar-benar berada pada zon bahagia.
Sesi minum petang yang dikongsi dengan kisah lucu dan kenangan antara ayah dan ibu mentuanya jelas membayangkan Nabil begitu selesa dengan keputusannya untuk bernikah.
Pelbagai aktiviti dimanfaatkan Nabil yang kerap pulang ke Klang, dan paling mengujakan ialah sesi mengurut bapa mentuanya yang cukup sporting dan ramah. Sesekali dia mengusik lelaki itu yang dibalas dengan lawak spontan si bapa.
Namun agak mengejutkan apabila ketiga-tiga insan baru saja memasuki hidup Nabil kini sepakat memberitahu, Nabil sebenarnya agak pendiam dan bukanlah setiap masa hidup dengan aksi kelakarnya.
“Bagi pakcik, Nabil bukanlah setiap masa kelakar. Ada masanya dia begitu kelakar dan ada masa dia serius juga. Tapi pakcik melihat Nabil sebagai menantu yang baik dan pandai mengambil hati. Jika ada masa terluang kami akan keluar makan bersama, berjalan-jalan dan menjalankan aktiviti masa lapang. Apa pun harapan pakcik supaya hubungan yang mereka bina akan terus berkekalan sepanjang hayat,” katanya penuh harapan.
Bagi Zaharah pula, Nabil disifatkan sebagai anak muda yang tahu menghormati orang yang lebih dewasa, selain amat berkenaan dengan kelakuan Nabil yang suka berlawak.
“Dia selamba saja dengan kelakuannya serta menjadi dirinya. Selain bijak mengambil hati kami, Nabil juga anak yang bertanggungjawab. Walaupun suka mengusik, tetapi ia bertempat. Jika perlu serius, dia akan berbuat begitu,” katanya memuji.
Ditanya pula kepada Nazirah sendiri, wanita itu mula tersenyum dan memberitahu, tiada apa yang berubah pada si suami tercinta selain usikan nakalnya yang lebih kerap.
“Setelah beberapa minggu hidup di samping suami, dia tetap menjadi dirinya dan tidak berubah. Saya sentiasa ketawa melihat aksinya yang suka mengusik ibu dan ayah. Lagipun ayah saya memang kaki lawak. Jadi mereka memang sesuai disatukan.
“Sebagai isteri, saya mahu sentiasa di sampingnya, saat dia susah dan senang. Saya amat berharap perkahwinan ini diberkati dan sentiasa dilimpahi dengan kebahagiaan,” katanya yang mengakui Nabil sangat gemar makan hasil hidangannya seperti sardin goreng, ayam masak kicap dan mi segera.
Jika boleh, katanya, suaminya itu mahu dia sendiri yang memasak untuknya.
"Dia seorang yang tidak cerewet dalam hidangan, asalkan saya yang masak. Setakat ini dia sukakan masakan saya seperti ayam masak kicap, kek keju serta beberapa menu lain,” katanya sambil memberitahu, hampir setiap hari dia menyediakan hidangan untuk suami.
Lebih tenang sejak bernikah
PASANGAN yang menetap di rumah milik Nabil di Jalan Duta ini sebenarnya berkongsi minat yang sama, serta sering melakukan aktiviti yang mampu mengeratkan lagi hubungan yang baru dimeterai itu.
“Nabil suka makan. Kadang-kadang waktu sudah menunjukkan jam tiga pagi, tetapi dia masih mahu makan. Jadi, jika saya tidak masak pun, saya akan menemani dia ke restoran makanan segera,” kata Nazirah.
Bagi Nabil pula, keindahan berumah tangga yang dialaminya sekarang membuatkan dia sedikit menyesal kerana tidak memilih untuk berkahwin lebih awal.
“Hidup saya seronok sangat sekarang. Saya sudah ada teman hidup kekal. Mahu lakukan aktiviti apa pun, tidak ada lagi yang memandang serong kerana ia sudah sah. Hati saya juga tenang dan banyak aktiviti yang saya suka dapat dikongsi bersama. Lagipun, ahli keluarga juga sudah bertambah.
“Kehidupan zaman bujang dan berkahwin adalah cukup berbeza dan saya melakukan satu keputusan yang tepat. Ibu dan bapa mentua juga sangat sporting, baik dan sudi melayan kerenah saya yang suka mengusik,” katanya.
Di matanya, Nazirah isteri yang cukup sempurna kerana sudi menerima dirinya seadanya dan menyifatkan wanita itu sebagai teman rapat.
“Kami bukan saja suami dan isteri tetapi lebih daripada itu. Ke mana saya pergi sekarang, dia mesti ada. Saya selalu ajak dia pergi bermain luncur di Shah Alam. Walaupun tengah malam dan pagi, dia tidak merungut dan sentiasa berada dalam keadaan ceria.
“Nazirah juga tidak cerewet. Walaupun dia isteri yang manja, tetapi dia bukan jenis yang mengada-ngada dan tidak terlalu meminta. Paling penting keikhlasannya mencintai saya,” katanya yang tidak lekang daripada berada di sisi isterinya sepanjang sesi temubual dan sesekali Nazirah mencium pipi suaminya sambil dibalas usapan lembut Nabil di kepala.
Bagi berkongsi kebahagiaan yang meniti ruang istana yang baru dibina, Nabil memberitahu, antara aktiviti yang digemari mereka ialah menunggang motosikal besar dan skuter.
“Kadang-kadang saya bawa dia dan ada kalanya saya yang membonceng. Ada juga saat dia menaiki skuter dan saya mengekorinya menaiki motor besar. Di situlah kami akan bergurau, berlumba-lumba dan ia merapatkan hubungan yang dibina ini,” katanya yang bakal membintangi filem arahan Afdlin Shauki dalam masa terdekat.
Berbicara soal kerjaya isteri, Nabil berkata, setakat ini biarlah Nazirah berehat dulu sebelum memikirkan untuk meneruskan kerjaya pilihannya.
“Saya tidak akan menghalang apa saja kerja ingin dilakukannya, walaupun jika dia mahu berlakon. Tetapi, dia memang tidak suka berlakon, sebaliknya lebih berminat menjadi bintang komersial (iklan),” katanya mengenai Nazirah yang turut meminati bidang perniagaan.
Dengan mahligai yang dibina, tumpuan dalam mengukuhkan pendapatan juga menjadi matlamat Nabil.
“Saya sudah mempunyai keluarga. Tanggungan juga bertambah dan saya tidak boleh ambil ringan. Fokus saya kini adalah menjana pendapatan. Mungkin selepas ini saya akan buka perniagaan tetapi buat masa ini saya masih memikirkan apa yang saya mahu jual,” katanya yang turut menerima tawaran daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pengacara.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters featured article: A 'Malign Intellectual Subculture' - George Monbiot Smears Chomsky, Herman, Peterson, Pilger And Media Lens.
More:
Menantu kesayangan
- Category: Berita
- Tags:1klassifieds, akhbar-digital, bintang-popular, digital, kuala-lumpur, malaysia, mobile, nasional, nazirah, news, opera, surat












No Responses to “Menantu kesayangan” Leave a reply ›