Skip to Content

MACP lebih dihormati

Submitted by on November 16, 2011

Cerita Artis Selebriti Malaysia hari ini,

RAMAI mungkin hanya mengenali nama Beh Suat Pheng selepas namanya diumumkan sebagai penerima Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik (AIM18).

Suat Pheng atau lebih mesra dengan panggilan Mrs Beh, 68, bertanggungjawab menjayakan matlamat penubuhan badan Perlindungan Karya Hak Cipta Muzik Malaysia (MACP) berfungsi pada 1989, yang akhirnya berdiri sendiri selepas bekerjasama dengan Persatuan Persekutuan Pencipta dan Komposer Antarabangsa (CISAC) beberapa tahun sebelum itu.

Beliau memanfaatkan pengalaman sebagai Pengarah Urusan EMI (M) selama 17 tahun dari 1981 hingga 1998 dan jawatan terakhirnya dari 1998 hingga 2003 sebagai Naib Presiden Kanan EMI Music Asia dari 1998 hingga 2003 dengan membantu meningkat�kan martabat industri hiburan Malaysia.

Sejak badan itu ditubuh�kan, nasib dan masa depan komposer, penerbit, penulis lirik dan pencipta lagu kini lebih terjamin daripada menjadi mangsa dipersembahkan tanpa kebenaran.


Kini beliau boleh tersenyum lebar menyaksikan MACP lebih dihormati dan bertanggung�jawab mengeluarkan lesen untuk pengguna muzik (radio dan stesen televisyen, pusat hiburan, kedai dan penyedia perkhidmatan telefon bergerak) dan membayar penulis lagu dan penerbit apabila hasil kerja mereka disiarkan atau dipersembahkan kepada orang awam.


Beliau yang sempat ditemuramah selepas malam kemuncak AIM18, baru-baru ini, dianggap ‘Wanita Besi’ itu kini banyak terbabit dalam kerja sukarelawan dan nenek kepada empat cucu itu kental bersama muzik yang sebati dalam dirinya.

Ikuti temubual bersama wartawan RAP, ESME JOHARI WAHAB (esme@hmetro.com.my) bersama Mrs Beh mengenai pengalamannya sepanjang penubuhan MACP selama 20 tahun hingga mempunyai keahlian 2,500 karyawan, komposer dan penerbit dan memiliki penguasaan lebih 50,000 keping muzikal tempatan.

Begitu juga pengalamannya menerajui syarikat rakaman tertua tanah air yang berusia lebih 100 tahun dan melahirkan ramai penyanyi terkenal seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Sudirman Haji Arshad, Ella, KRU dan ramai lagi.

RAP: Apakah anda terkilan kerana AIM mengambil masa terlalu lama untuk mengiktiraf sumbangan anda dalam industri hiburan?

BEH: Oh, tidak, saya hanya berjenaka mengenai perkara itu. Saya terkejut kerana berada dalam industri sejak 1966 dan anda sendiri mungkin belum lahir ketika itu. Memang terkejut diumumkan penerima Anugerah Sri Wirama tahun ini.

Apapun, saya berterima kasih atas pengiktirafan dan penghormatan diberikan.
Sekurang-kurangnya dapat melihat dan merasai jerih payah menubuh�kan MACP akhirnya memberi manfaat dan menjamin masa depan pencipta lagu, penulis lirik dan komposer. Ini sumba�ngan paling bermakna dalam hidup saya dan berterima kasih kepada semua pihak memberi sokongan padu.

RAP: Apa pandangan anda mengenai penganjuran AIM18 tahun ini?

BEH: Bagi saya yang mengikuti perkembangan anugerah berprestij ini setiap tahun, acara kemuncak kali ke-18 ini paling terbaik saya saksikan. Persembahan artis hebat, pencahayaan bagus dan serba-serbi berjalan lancar. Paling penting adalah matlamat mengiktiraf anak seni yang berkarya dengan cara mereka tersendiri dalam pelbagai genre.

Bagi saya, penganjuran AIM perlu sentiasa ditambah nilai dan penambaikan daripada tahun ke tahun. Pihak penganjuran mesti mencari idea dan pendekatan berbeza supaya ia tidak bosan dan relevan dengan kehendak dan keperluan semasa sentiasa berubah.

RAP: Apa yang anda lakukan selepas tidak lagi aktif dalam industri muzik sejak lapan tahun lalu?

BEH: Saya kini menganggotai Soroptimist Organisation, sebuah badan melakukan kerja-kerja sosial untuk menjaga kebajikan wanita dan gadis. Saya memang suka membuat kerja amal dan melihat orang mendapat penghidupan lebih baik untuk masa depan. Banyak perkara boleh dibuat sekiranya kita berganding bahu demi memajukan masyarakat Malaysia dan membina kematangan berfikir dalam serba-serbi. Saya mahu masyarakat Malaysia bekerjasama menjadikan hiburan kita lebih dihormati bukan sekadar suka-suka atau ‘enjoy’ tanpa tujuan.

RAP: Mengapa MACP diadakan dan bagaimana mendapat idea awal menu�buhkannya?

BEH: MACP ditubuhkan untuk melindungi harta intelek dan gejala lanun cetak rompak menguasai 95 peratus industri kita sekitar pertengahan era 60-an. Saya dapati perkara itu menjadi barah serius membunuh bakat seni dan kreativiti.
Orang yang saya gelar ‘lanun’ ini tidak perlu bekerja-keras mendapat untung mudah sedangkan anak seni yang penat memerah otak dan mencipta tidak mendapat pulangan apa-apa. Ini membuatkan sesuatu perlu dibuat untuk mengatasinya. Ini antara usaha paling berkesan menjaga kepentingan industri hiburan kita.

RAP: Apakah jenis cetak rompak ketika zaman anda?

BEH: Zaman saya zaman analog atau ‘manual’ dan format tidak moden seperti sekarang. Zaman ini lebih senang mendapatkan lagu popular dengan cepat melalui komputer. Ketika zaman saya, format piring hitam LP (45 rpm) dan EP (331/2 rpm) adalah paling digemari.

Banyak karya bukan asli �(non-original) artis tempatan, artis luar syarikat rakaman di Malaysia dijual dalam pasaran. Itu tidak termasuk diterbit�kan atau disiarkan kepada pihak ketiga tanpa lesen sah. �Kesedaran orang ramai rendah kerana menganggap tindakan itu tidak menjadi kesalahan menyiarkan atau mempersembahkan muzik artis rakaman dan sesiapa saja boleh melakukannya. Jadi, semua pihak rugi dan industri kita tidak ke mana.

RAP: Apakah cabaran sekarang lebih teruk atau masih sama?

BEH: Saya tidak ada statistik buat masa ini. Apa saya lihat, gejala cetak rompak masih ada kerana ada permintaan tertentu. Sekarang masalah muat turun haram terutamanya single menjadi senario baru dunia digital yang berlaku di mana-mana. Perkara ini mungkin sukar dikawal jika tidak dibendung dan sebahagian lagi bergantung kepada kesedaran orang ramai sendiri. Ramai menganggap kerja seni muzik tiada nilai, sesuatu yang mudah dan sesiapa saja boleh miliki hasil titik peluh orang lain.

Sudah menjadi kebiasaan, masyarakat sekarang suka muat turun lagu kesukaan mereka tanpa perlu membayar kerana jika membayar mereka merasa rugi. Yang rugi sebenarnya pengkarya kerana hasil disalahgunakan sesuka hati. MACP sentiasa memantau pemberian lesen penyiaran atau persembahan di tempat awam. Ini juga bermakna jika mereka tidak mematuhinya, tindakan tegas seperti mendakwa di mahkamah boleh dilakukan.

RAP: Siapakah antara artis pernah bekerjasama dengan anda sebelum ini hinggalah tertubuhnya MACP dan apa membuatkan anda bangga dengan mereka?

BEH: Ramai artis hebat Malaysia pernah bekerjasama dengan saya. Memang ramai terkenal berbanding sebaliknya. Antara yang saya ingat, Datuk DJ Dave, Uji Rashid, Datuk Sharifah Aini, M Sani, Puan Sri Saloma dan ratu rock, Ella.
Sejak zaman saya bersama EMI hinggalah sekarang, kami masih berkawan baik dan sering bertanya khabar. Mereka jenis bekerja keras, komited dan mudah diajak berbincang mengenai isu semasa. Mereka berganding bahu membanteras, mengubah persepsi masyarakat mengenai budaya suka beli produk cetak rompak. Mereka memang pernah merasai tamparan hebat gejala cetak rompak dalam bentuk kaset yang popular sekitar pertengahan 80-an hingga menjejaskan jualan album asli.

RAP: Harapan anda untuk masa depan industri muzik Malaysia?

BEH: Kita memiliki ramai artis muda berbakat besar. Peluang lebih banyak mendedahkan bakat mereka melalui face�book, YouTube atau My�space. Ini kelebihan yang ada sekarang, jadi mereka perlu membuktikan mereka memang bagus dan berbakat.

Apapun, tidak mustahil hasil kerja mereka juga dimuat turun secara haram melalui Internet. Ini agak membimbangkan saya kerana perkara ini perlu pemantauan lebih luas. Golongan muda yang suka menggunakan tindakan ini dengan kemudahan teknologi moden, jika tidak diberi kesedaran, mereka juga akan menjadi lanun moden. Ada antara mereka muat turun lagu artis dan menjualnya kepada pihak lain.

This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Donate to Wikileaks.

See the original post:
MACP lebih dihormati

Related Posts with Thumbnails
Voted by:
sebokmama










pelaburan silver

No Responses to “MACP lebih dihormati” Leave a reply ›

Leave a Reply

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>