Cerita Artis Selebriti Malaysia hari ini,
KEJAYAAN sesebuah karya filem atau drama tidak hanya bergantung kepada barisan pelakon popular sebaliknya skrip yang bagus dan berkualiti tetapi ia sering terlepas pandang di kalangan produser hingga hasilnya membuatkan penonton bosan.
Apabila penonton bosan, pelbagai kritikan negatif dilemparkan. Persoalan bagaimana kita boleh mendapat skrip berkualiti yang membawa idea segar atau apakah penulis skrip kita ketandusan idea, sentiasa bermain di fikiran.
Jika di luar negara, persatuan seperti Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam) memainkan peranan penting dalam melatih dan menjaga ahli mereka sebaliknya, masalah membabitkan penulis skrip termasuk jumlah bayaran yang diterima masih menjadi isu.
Menyedari kepentingan idea baru pada penulisan skrip berkualiti, penulis skrip berpengalaman, Martias Mohd Ali tampil menyumbang idea menganjurkan Malaysia Creative Pitch (MC Pitch).
Acara selama sehari ini akan diadakan di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang Selangor pada 17 November depan dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Acara julung kali ini diadakan sempena penganjuran Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) dan dianjurkan dengan kerjasama Finas.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara ini, ikuti temubual wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) bersama Martias yang bertindak sebagai pengarah acara.
Martias yang juga Timbalan Presiden Swam, mempunyai pengalaman selama 19 tahun sebagai penulis skrip termasuk menghasilkan filem pendek seperti Hasrat dan Anak. Dia berpengalaman luas menghasilkan skrip dan pernah menjadi panel skrip bersama Astro dan Finas.
RAP: Bagaimana idea mengadakan acara ini tercetus?
MARTIAS: Idea seperti ini sebenarnya sudah lama diadakan di luar negara. Saya pernah ke Hollywood pada 2005 menyertai acara ‘pitching’ yang dibuat secara besar-besaran. Memang sambutan diterima ketika itu sangat menggalakkan apabila menyaksikan pelbagai bangsa dan latar belakang mengambil kesempatan untuk hadir berkongsi idea. Menariknya, mereka ini bukan hanya penulis skrip tetapi ada juga doktor dan jurutera yang mahu menjual idea sendiri.
Tidak semua orang boleh tulis skrip mahupun kenal dengan orang produksi. Atas faktor itu, acara ini menjadi agenda penting untuk penulis skrip atau sesiapa saja yang mempunyai idea menarik berkumpul lalu berjumpa dengan orang produksi serta wakil stesen TV.
Bagi penganjur mahupun produser dan stesen TV, kami perlukan banyak idea untuk menghasilkan skrip yang menarik dan berkualiti. Sehingga kini, saya mendapat respons positif dari ramai produser dan stesen TV untuk menyertai acara ini. Begitu juga, Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) menyokong seratus peratus acara ini dan menggalakkan ahli mereka agar mengambil bahagian. Acara ini menjadi antara agenda yang dirancang untuk FFM24 pada tahun ini. Jika selama ini FFM hanya meraikan golongan artis tetapi menerusi acara ini, tiba pula penganjur meraikan penonton dengan mengajak mereka terbabit sama.
RAP: Apakah matlamat yang ingin dicapai?
MARTIAS: Penganjur meletakkan matlamat agar produser dan stesen TV dapat mengumpul kandungan kreatif dari semua lapisan masyarakat. Perlu diingatkan, usaha mendapatkan kandungan kreatif ini tidak hanya terhad pada penggiat seni semata-mata. Walaupun pelbagai latar belakang dijangka hadir pada acara ini, ia tetap mewujudkan persaingan yang sihat.
Apa yang penting, penganjur dapat mengumpul penulis skrip ini di satu tempat. Sebelum ini, wujud rungutan daripada produser yang memikirkan bagaimana satu acara pitching besar boleh dilakukan. Dalam membuka ruang pada penulis skrip untuk hadir, mereka juga boleh mendapat pelbagai maklumat berkaitan industri perfileman dan drama di lokasi acara ini.
Seperti Finas, mereka dapat mengetahui kemudahan yang disediakan seperti geran. Begitu juga, maklumat kemudahan ditawarkan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan pinjaman menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dapat diketahui dengan lebih jelas.
Semua agensi penting di sebalik penerbitan filem dan drama ada pada acara ini yang dianggap ‘one stop center’ atau dikenali ‘dating’. Bagi penganjur, kami tidak ambil sebarang keuntungan langsung.
Saya mengharapkan orang ramai yang berminat turut serta tidak melepaskan peluang kerana bayaran dikenakan hanya RM2 manakala RM150 untuk produser menyewa gerai.
Bayaran RM2 ini dianggap paling murah berbanding acara sama diadakan di luar negara. Seperti acara ‘Speed Dating’ di Afrika Selatan, bayaran masuk sebanyak AS$300 tetapi sambutan pengunjung yang hadir tetap meriah.
Seperti kunjungan saya ke Hollywood juga, saya sanggup beratur bersama 6,000 pengunjung lain untuk masuk bertemu produser hebat seperti Steven Spielberg dan berusaha menjual idea. Saya juga mengharapkan agar acara MC Pitch ini berjaya.
RAP: Bagaimana acara ini dapat membantu membangun industri hiburan tempatan?
MARTIAS: Saya menganggap acara ini sebagai anjakan paradigma dalam mendapat idea baru untuk membantu industri hiburan tempatan. Bagi seorang penulis skrip yang menghasilkan skrip cerita doktor, ia suatu yang sukar dibandingkan doktor sendiri yang berkongsi pengalaman sendiri.
Ramai penonton yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila menyatakan drama atau filem kita memaparkan cerita yang klise. Untuk mendapatkan jawapan ini, kita perlu tanya apa yang sebenar penonton mahukan. Jika ada idea atau cerita yang menarik, mereka boleh sampaikan pada produser menerusi acara seperti ini. Dalam pertemuan ini, produser akan melatih bagaimana menghasilkan skrip.
Penulis skrip sedia ada mempunyai batasan dalam menterjemahkan idea. Malah, kebanyakan skrip yang dihasilkan berdasarkan imaginasi. Walaupun ada berpandangan wujud situasi kroni membabitkan produser dengan penulis skrip tetap, sebaliknya ia bukan halangan pada penulis baru untuk mencipta nama.
Menariknya, tidak semestinya mereka yang mempunyai idea perlu menjadi penulis skrip. Mereka boleh sekadar jual idea dan produser berhak membayar jika idea itu menarik.
Pada acara MC Pitch ini, pengunjung boleh berkongsi idea dengan bercerita di pentas menerusi Pertandingan Pitch Terbuka dan jika ia paling menarik, berpeluang menerima hadiah utama wang tunai sebanyak RM2,000.
RAP: Apakah kita ketandusan skrip berkualiti?
MARTIAS: Kita sebenarnya memang ketandusan dari aspek cabang cerita yang ingin dikembangkan. Ramai penonton memberikan komen negatif pada skrip drama atau filem tempatan.
Penonton berhak bersuara tetapi apakah penonton ini dapat berikan idea yang lebih bagus. Selalunya skrip kurang kualiti kerana kurang kajian dibuat penulis skrip.
Idea yang ada hanya luaran tanpa mengetahui masalah dan perasaan dalaman pada watak utama itu sendiri. Seperti cerita posmen, ia lebih meyakinkan jika posmen yang berkongsi idea.
Begitu juga, nelayan mempunyai banyak pengalaman sendiri yang mungkin kisahnya dapat menarik perhatian penonton. Menerusi MC Pitch, saya berharap individu seperti posmen dan nelayan dapat hadir jika ingin berkongsi idea dan boleh mendapat bayaran walaupun sekadar idea.
Bagi saya sendiri yang sudah 19 tahun menulis skrip, berasakan cerita yang dihasilkan klise. Sampai ke satu tahap, apabila kering idea saya mengembara bertemu pelbagai orang untuk mendapatkan idea baru.
Adanya MC Pitch, ia sekurangnya dapat mencetuskan idea baru pada penulis skrip. Masalah orang curi idea orang lain bukan isu kerana sesiapa saja boleh melontarkan idea tetapi hasilnya nanti pasti berbeza.
RAP: Bagaimana dengan bayaran untuk skrip, apakah boleh diseragamkan atau jaminan penulis skrip tidak ditipu?
MARTIAS: Idea tak boleh diletak pada satu harga kerana ia adalah nilai kreatif. Cuma, ia bergantung pada tolak ansur dan perbincangan antara produser dengan penulis skrip. Bagi sesiapa yang bekerja untuk menjana ekonomi seharusnya ada bayaran. Saya sendiri membayar idea orang lain RM500 untuk telefilem manakala drama bersiri, RM1,000.
Apa yang penting di sini, saya menghormati idea orang lain. Untuk MC Pitch, setiap pengunjung yang berhasrat menjual idea mereka akan diberi tiket yang mana ia dicop produksi yang sudah mendengar idea mereka.
Tiket yang dicop ini penting sebagai bukti jika ada yang mengadu idea mereka dicuri. Andai idea mereka digunakan untuk siaran, mereka juga boleh berbincang dengan produksi untuk bayaran.
RAP: Mungkin ada persatuan turun padang?
MARTIAS: Buat masa ini, PTVM sudah bersetuju untuk menghantar ahli mereka sertai acara ini. Menerusi FFM24 yang dianjurkan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), ia pasti memberi galakan pada ramai anggota persatuan untuk hadir.
Di samping persatuan, ada artis yang menyatakan keinginan menghantar profil mereka kepada produksi. Penganjur tidak kisah kerana acara ini turut menjadi pertemuan produser dan pelakon menjalinkan kerjasama.
Penganjur mensasarkan 80 meja dijual termasuk meja Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), MDeC, Filem Negara Malaysia, Finas dan BSN. Jemputan juga dihantar kepada stesen TV terdiri, Media Prima Berhad, Astro, TV Alhijrah dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Tiada had umur atau tidak perlu kelayakan profesional dan pengalaman untuk sertai acara ini. Sebaran idea kreatif boleh disampaikan merujuk pada konsep rancangan, filem, TV, dokumentari, iklan, animasi, buku cerita, novel, buku ilmiah mahupun komik.
Saya mengharapkan acara ini berlangsung dengan meriah dengan pembabitan ramai artis dan orang ramai. Penganjur juga berharap acara ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Jika dapat dijadikan acara tahunan, ia sudah cukup bagus. Terima kasih juga pada FFM24 kerana memberikan platform pada acara ini untuk dianjurkan.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters featured article: A 'Malign Intellectual Subculture' - George Monbiot Smears Chomsky, Herman, Peterson, Pilger And Media Lens.
Continue reading here:
INTERAKSI: Idea baru penulisan skrip berkualiti
- Category: Media
- Tags:arena, blue, dating, facebook, festival, firefox, harian-metro, hollywood, metro, multimedia, news, sakit-puan












No Responses to “INTERAKSI: Idea baru penulisan skrip berkualiti” Leave a reply ›