Cerita Artis Selebriti Malaysia hari ini,
BERBICARA mengenai industri muzik tanah air, perkembangan acap kali menjadi topik utama. Ditambah lagi, melihatkan pelbagai penganjuran majlis anugerah membabitkan pengiktirafan untuk penggiat muzik tanah air yang tak jemu berkarya.
Bahkan, baru-baru ini sudah berlangsung majlis Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM18) dan akan datang pula pastinya Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) yang menjadi perhatian ramai.
Jika AIM18 mencetuskan kontroversi apabila keputusan Lagu Terbaik bertukar tangan, tidak dinafikan, dalam debaran menanti kemuncak AJL26 yang akan berlangsung Januari ini, ada yang mempertikaikan senarai 12 lagu yang layak ke peringkat akhir. Ada lagu yang mempunyai melodi yang begitu ringkas, dipilih ke peringkat akhir. Apakah ini petanda kita kekurangan lagu berkualiti?
Kemelut lain, ada pula lagu yang bagus dan popular tetapi tidak dapat dicalonkan di AIM atau AJL kerana ciptaan luar. Apapun, Malam Mesra Badan Perlindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) Berhad, baru-baru ini mencatat sejarah tersendiri dan menunjukkan perkembangan positif apabila diumumkan kutipan royalti MACP meningkat setiap tahun dan kutipan tahun ini dijangka mencecah RM40 juta.
Komposer yang juga penyanyi tersohor, Datuk M Nasir melakar kejayaan meraih anugerah Komposer dengan Pendapatan Terbanyak buat kali ke-12. Selain itu, beberapa komposer muda negara seperti Yuna dan Sam (Bunkface) juga mendapat pengiktirafan.
Justeru, sejauh manakah sebenarnya perkembangan industri hiburan terutama muzik tanah air. Bagi membicarakan persoalan ini, ikuti temu bual wartawan hiburan Harian Metro, NORHAYATI NORDIN (yati@hmetro.com.my) bersama Pengerusi MACP, Habsah Hassan yang juga penulis lirik terkenal.
RAP: Pandangan anda terhadap perkembangan muzik tanah air?
HABSAH: Soal perkembangan ini, saya lihat dari pelbagai aspek seperti kuantiti yang merangkumi jumlah penyanyi, komposer dan lagu dihasilkan memang bertambah dan ia perkara menggembirakan kerana sudah lahir pelapis industri.
Namun dari aspek perkembangan jualan pula masih amat menyedihkan berikutan kekura–ngan album diterbitkan syarikat rakaman. Biarpun penyanyi ramai, tetapi pembeli kurang. Ditambah lagi, masalah cetak rompak yang hingga kini tak terbendung. Bukan kerajaan tidak membantu dengan pelbagai kempen, namun kesedaran masih kurang. Selain itu, perkembangan teknologi juga semakin menjadi perhatian menerusi muat turun lagu yang mendapat tempat di hati penggemar muzik.
RAP: Bagaimana dengan kemasukan muzik luar?
HABSAH: Tak dinafikan, dasar terbuka industri kini turut mendorong kemasukan begitu banyak lagu dari luar negara. Justeru, biarpun perkembangan muzik tiada sempadan tetapi seharusnya kawalan perlu ada demi membantu karya penggiat seni tempatan.
Dalam soal ini, sepatutnya usah terlalu mudah memberi peluang kepada artis luar kerana belum tentu lagi layanan sama diterima artis kita. Janganlah nanti, ‘anak orang kita layan tetapi anak sendiri diketepikan’. Ia pada saya perkara yang tidak sihat.
Lagi pun, negara ini melahirkan ramai artis baru yang sepatutnya diberikan peluang untuk bakat mereka dikete–ngahkan. Bahkan, banyak juga karya lagu lebih baik dihasilkan dan memerlukan peluang untuk diketengahkan pada pendengar.
RAP: Apakah ada unsur ‘berat sebelah’?
HABSAH: Sukar untuk saya memperkatakannya. Tetapi, jujurnya saya juga ingin tahu siapa yang sebenarnya menentukan keputusan untuk menyiarkan lagu di radio. Atas kriteria apa, penilaian pada sesuatu lagu itu dibuat sebelum disiarkan?
Malah apakah golongan yang menilai itu benar-benar arif mengenai muzik
hingga boleh melabelkan lagu ini bagus dan lagu itu sebaliknya? Atau adakah proses penyiaran lagu itu bergantung kepada budi bicara penyampai radio yang bertugas?
Apa yang boleh saya katakan, karya anak tempatan harus diberi lebih peluang. Ini kerana, saya yakin negara memiliki ramai penggiat seni yang berbakat. Tetapi, mereka tidak mampu pergi ke mana-mana kerana sukar mendapatkan peluang sepatutnya.
RAP: Jadi, perlulah ada kuota?
HABSAH: Bagi saya, ada baiknya mewujudkan kuota tertentu untuk lagu dari luar negara. Seperti yang pernah dilakukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dulu, saya fikir dengan adanya kuota lebih menjamin masa depan insan seni tanah air.
Seingat saya, dulu penyanyi bersuara sumbang pun tidak dibenarkan penyiaran lagunya oleh RTM. Ini sebenarnya usaha yang baik kerana dapat melahirkan penyanyi benar-benar berbakat. Secara tidak langsung, ia menyekat lebihan kuantiti berbanding kualiti.
Kemajuan industri muzik bergantung kepada kemunculan penyanyi berkualiti merangkumi ada vokal dan lagu yang baik untuk diketengahkan. Adalah wajar untuk negara melahirkan pelapis seni yang memiliki kualiti bakat berbanding hanya kuantiti.
RAP: Pandangan anda mengenai penganjuran pertandingan?
HABSAH: Pendapat saya ini boleh dianggap ‘komen orang lama’. Ini kerana saya sangat menitikberatkan kejujuran. Oleh itu, bagi pertandingan nyanyian adalah lebih baik penilaian dibuat telus berdasarkan kekuatan sesuatu lagu yang dicalonkan itu.
Tolak ke tepi populariti penyanyinya kerana apa yang dipertandingkan itu adalah lagu. Jadi, sewajarnya lagu dinilai berdasarkan susunan muzik dan liriknya. Justeru, saya yakin keputusan dicapai pasti takkan dikaitkan dengan sebarang kontroversi.
Pertandingan dianjurkan pun untuk mengiktiraf karya terbaik dan bukan popular. Jadi, adalah lebih baik juga tidak terlalu banyak majlis anugerah dianjurkan. Lihat saja Hollywood, semua stesen penyiaran bergabung menganjurkan satu majlis anugerah. Maka, nilai anugerah yang dimenangi itu lebih bermakna berikutan karya dipilih sebagai pemenang pun yang terbaik. Penilaian dibuat berdasarkan karya terbabit dan bukan populariti artis semata-mata. Saya melihat perlu ada kejujuran dalam berkarya.
RAP: Komen mengenai kutipan RM40 juta royalti oleh MACP tahun ini?
HABSAH: Kutipan RM40 juta royalti ini bukanlah untuk artis Malaysia saja kerana MACP adalah badan yang menjaga hak artis di seluruh dunia. Dalam soal ini, apa saja lagu disiarkan maka kepentingan artis itu dijaga dengan bayaran royalti diperoleh.
Justeru, memandangkan sekarang ini begitu banyak lagu dari luar negara yang disiarkan stesen radio, jadi pengaliran wang kutipan royalti akan diagihkan itu lebih banyak ke luar. Oleh itu, adalah lebih baik jika lagu penyanyi tempatan yang disiarkan.
Biarpun pengurusan MACP diuruskan di Malaysia tetapi soal royalti yang dibayar kepada artis luar ini dibuat berdasarkan akta hak cipta. Atas sebab itu, kita tak boleh ambil hak mereka kerana kebajikan artis kita di luar negara pun dijaga juga.
RAP: Harapan anda terhadap industri?
HABSAH: Saya mengharapkan industri muzik negara semakin berkembang baik dan sihat dengan kemunculan artis yang berbakat. Ia merangkumi artis yang tahu apa mereka inginkan pada pembabitan dalam seni yang bukan hanya mengejar populariti.
Ingin saya ingatkan supaya jadilah artis yang tahu apa hala tuju yang diimpikan dan berusaha untuk memastikan bakat dianugerahkan Tuhan itu kekal lama dengan warisan karya terbaik. Seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Datuk Sudirman Arshad.
Hingga kini, karya mereka terus unggul dan diminati ramai kerana apa yang dilakukan lahir daripada keikhlasan dan kejujuran hati. Bukan untuk mengejar populariti atau kekayaan semata-mata. Berusahalah untuk jadi bintang yang kekal lama.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Donate to Wikileaks.
Go here to see the original:
INTERAKSI: Beri peluang anak tempatan
- Category: Media
- Tags:arkib-seminggu, chrome, firefox, hollywood, metro, opera, sakit-puan, sertai-komuniti-mymetro












No Responses to “INTERAKSI: Beri peluang anak tempatan” Leave a reply ›