Cerita Artis Selebriti Malaysia hari ini,
LAGU Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi yang dipopularkan Alleycats sekitar 1980-an melonjakkan nama penulis lirik, Syed Mohd Amin Syed Hashim Al-Shahab, 57, atau lebih dikenali S Amin Shahab.
Sebagai penulis lirik terkenal, dia sudah menghasilkan lebih 500 lirik yang pernah dinyanyikan hampir 30 penyanyi sejak awal 1980-an lagi. Malah mencatat rekod antara penulis lirik yang menghasilkan lirik terbanyak. Di kalangan penggiat seni S Amin dikenali dengan penghasilan lirik yang puitis, berunsur nasihat dan penuh makna.
Lirik lagu yang dihasilkan antaranya 10 lagu dalam album Judul Cinta dan Hidup nyanyian Datuk Shake, 10 lagu ciptaannya menerusi album Drama Kehidupan (Alleycats) pada 1984, serta beberapa lagu yang dipopularkan kumpulan FRU.
Tidak ketinggalan beberapa lagu popular seperti Keroncong Untuk Ana 1 dan Keroncong Untuk Ana 2 (M Nasir), Suci Dalam Debu (Iklim) dan Teratai Layu Di Tasik Madu (Fauziah Latiff).
Atas sumbangan besarnya dalam penulisan lirik lagu, S Amin dipilih untuk menerima pengiktirafan khas, Anugerah Nadi Cipta pada Malam Mesra Badan Perlindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) Berhad, kelmarin.
Tidak dinafikan kemampuan dan bakat semula jadi S Amin selain sumbangan dan kegigihan yang ditunjukkan tanpa kenal erti putus asa berbakti menerusi karyanya, wajar dicontohi.
Katanya, Anugerah Nadi Cipta adalah anugerah pertama yang diterimanya daripada MACP sepanjang lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni dan ia disifatkan cukup bermakna. Secara tidak langsung sebagai ahli MACP sememangnya mengambil berat kebajikan ahlinya.
“Saya sangat terharu dan berterima kasih kepada MACP dan sangat menghargai pengiktirafan ini. Sememangnya MACP antara pertubuhan yang menjaga keahliannya selain membantu karyawan seni menjana pendapatan menerusi karya yang dihasilkan.
“Malah ketika zaman kegawatan ekonomi suatu masa dulu MACP tetap membantu ahlinya dengan mengutip royalti,” kata S Amin yang bertindak sebagai penulis lirik eksklusif syarikat rakaman Luncai Emas.
Bapa kepada lima anak ini memaklumkan, lirik yang dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri. Padanya tidak sukar untuk seseorang itu menghasilkan lirik jika mempunyai minat yang tinggi.
“Kebanyakan lirik yang saya hasilkan berkonsep penceritaan. Kadang kala lirik yang dihasilkan disesuaikan dengan penyanyi itu sendiri. Menerusi lirik pelbagai subjek atau topik yang sudah saya sentuh daripada cerita membabitkan peperangan, kisah individu selain kebanyakan lagu berkisar kepada percintaan.
“Sejak serius dalam penghasilan lirik lagi saya sudah menghasilkan lagu-lagu rakyat, kritik sosial dan berunsur nasihat. Sehingga ada juga beberapa permintaan daripada artis yang mengaitkan jalan cerita sehingga terhasilnya 10 lagu dalam sebuah album karya saya sendiri.
“Situasi dunia seni sekarang jauh berbeza daripada dulu. Kebanyakan penyanyi boleh menghasilkan lirik sendiri terutama dengan kemunculan aliran indie. Pada saya ini satu perkembangan positif. Walaupun ada yang berpendapat senario ini mempunyai kebaikan dan kelemahannya namun masing-masing tetap diberi peluang dan ruang untuk berkarya,” katanya.
S Amin yang kini berjinak dengan hobi mengumpul keris masih aktif menghasilkan lirik berdasarkan permintaan. Tidak hanya dalam penulis lirik, S Amin turut diiktiraf sebagai pelukis sejak 2004.
Penyertaan secara seriusnya membuahkan kejayaan dan mencatat sejarah apabila berjaya menyiapkan lukisan terpanjang iaitu 800 meter dua tahun lalu. Menerusi lukisan yang ditaja Balai Seni Lukis Negara, S Amin menjelajah ke Eropah, Asia Timur, Pakistan dan Makassar.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Donate to Wikileaks.
Excerpt from:
Iktiraf sumbangan
- Category: Media
- Tags:blue, harian-metro, keroncong-untuk, kongsi-artikel, korea, news, opera, rap, versi-mobile












No Responses to “Iktiraf sumbangan” Leave a reply ›