Cerita Artis Selebriti Malaysia hari ini,
KATEGORI Kesan Khas Visual Terbaik yang pertama kali diperkenalkan di Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24), bakal mencuri tumpuan apabila lima filem bertanding, Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), Janin, Karak, Khurafat dan Libas.
Pengiktirafan pada karya yang menggunakan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) ini mampu menjadi penanda aras pada pencapaian filem tempatan.
Begitu juga, penganugerahan Pelakon Harapan Lelaki dan Wanita serta Pengarah sebagai galakan pada penggiat seni agar terus memberikan hasil kerja cemerlang pada masa hadapan.
Untuk kategori Pelakon Harapan Wanita, apakah Nadia Nisaa yang baru saja menang Pelakon Pembantu Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2011 (ASK2011) pada 4 November lalu menerusi lakonannya dalam filem Cun, bakal menang di FFM24?
Nadia bakal disaingi Shera Aiyob melalui lakonannya dalam Karak, Syamira Azmil (Karipap-Karipap Cinta), Shamimie Amalina Norhisham (Klipx 3GP) dan Sara Ali (Nur Kasih The Movie).
Untuk kategori lelaki pula menyaksikan saingan antara Aeril Zafril menerusi Aku Tak Bodoh, Zalif Sidek (Bini-Biniku Gangster), Arja Lee (... Dalam Botol), Adey Syafrien (Flat 3A) dan Sallehudin Abu Bakar (Hantu Bonceng).
Pengarah Harapan pula menyaksikan saingan sengit antara Khir Rahman (... Dalam Botol), Jeffry Chiang (Dilarang Masuk), Jurey Latiff Rosli (Libas), Baldev Singh (Rasuk) dan M Suurya (Sumpahan Puaka).
Keputusan empat kategori ini akan diumumkan pada acara Perasmian FFM24, 16 November ini (esok) sebelum Malam Kemuncak diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 20 November ini.
Pada acara Perasmian FFM24 kali ini, ia mencipta sejarah tersendiri apabila memilih lokasi Panggung Anniversary, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Acara dijangka bermula jam 8 malam akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut diumumkan pada malam pembukaan ialah Pelakon Kanak-kanak Terbaik, Poster Terbaik, Lagu Tema Asal Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Animasi Terbaik dan Filem Cereka bukan bahasa Melayu Terbaik.
Pengerusi Publisiti dan Tajaan FFM24, Wani Wendy Wong Abdullah berkata, FFM24 meneruskan kelaziman agenda Festival Filem Malaysia pada tahun sebelumnya apabila mengadakan acara perasmian lebih awal sebelum Malam Kemuncak. Ini bertujuan memberi sebahagian anugerah utama manakala selebihnya diberikan pada Malam Kemuncak.
Pada acara perasmian ini, 10 anugerah daripada dua kategori, Anugerah Gemilang Perdana dan Anugerah Gemilang Cipta. Konsep pada malam itu nanti lebih pada kasual, tiada karpet merah disediakan pada artis.
Katanya, acara ini menarik kerana dibuat dalam suasana terbuka dan dijangka 3,000 tetamu akan menghadiri acara ini termasuk 1,500 dari kalangan penggiat seni dan artis manakala selebihnya dibuka kepada orang ramai yang digalakkan hadir beramai-ramai.
“Bersama acara penting iaitu penyampaian 10 anugerah FFM24, acara turut diserikan dengan persembahan muzik 40 pemain Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Mereka ini akan memeriahkan persembahan pentas selain memainkan lagu Negaraku secara langsung pada permulaan acara. Begitu juga, rekaan pentas menarik tertera 41 filem yang bertanding pada FFM24 juga akan dipaparkan pada kain latar belakang,” katanya.
Wendy mewakili penganjur Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), meletakkan harapan agar acara ini mendapat sokongan ramai penggiat seni termasuk orang ramai untuk turut serta.
“Kesemua 1,500 kad jemputan sudah diedarkan dan jika ada artis yang tidak dapat kad, mereka masih boleh datang kerana kami mempunyai kaunter pendaftaran untuk menyusun tempat duduk mereka.
“Insya-Allah, saya berharap acara ini mendapat sokongan ramai semua pihak agar FFM24 menjadi meriah dan terbaik. Untuk makluman mereka yang akan hadir nanti, masalah tempat letak kereta akan berlaku tetapi penganjur menyediakan bas untuk artis naik dari tempat letak kereta di Tangling dan Taman Tasik Perdana ke lokasi acara.
“Peringatan penting juga buat artis agar makan terlebih dulu sebelum acara bermula kerana acara dijangka habis lewat dan penganjur berharap cuaca malam itu nanti tidak hujan,” katanya.
Mengikut perancangan penganjur FFM24, acara perasmian diadakan selepas sidang media Top 5 diumumkan pada 8 November lalu. Sehari selepas Perasmian FFM24, penganjur memfokuskan acara Malaysia Creative Pitch (MC Pitch) yang diadakan di Kompleks Studio Merdeka, Finas, Hulu Klang, Selangor pada 17 November ini dari jam 9 pagi hingga 6 petang.
Untuk acara MC Pitch yang julung kali diadakan ini, penganjur juga menggalakkan orang ramai tidak kira latar belakang tetapi mempunyai idea kreatif agar mengambil kesempatan hadir.
Sejurus MC Pitch, acara tayangan filem percuma pula diadakan pada 18 hingga 19 November sebelum tumpuan diberikan pada Malam Kemuncak (20 November).
FFM24 mendapat bajet sebanyak RM6.68 juta termasuk pelbagai tajaan dan Malam Kemuncak akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima (saluran 105) bermula 8.30 malam untuk karpet merah sebelum acara bermula jam 9 malam.
Sudah tentu kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik paling dinanti-nantikan.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Donate to Wikileaks.
More here:
CGI penanda aras baru
- Category: Media
- Tags:arena, arkib-seminggu, chrome, festival, malam-kemuncak, metro, rap, terbaik












No Responses to “CGI penanda aras baru” Leave a reply ›