Cerita Artis Selebriti Malaysia hari ini,
PERTIKAIAN antara Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dengan sebuah persatuan yang bernaung di bawahnya, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), belum mencapai jalan penyelesaian.
Nampaknya isu membelenggu dua persatuan ini bukan diselesaikan dengan bijak, tetapi keadaan tambah kusut dengan masalah baru. Isu antara dua persatuan ini bermula apabila Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli, mengeluarkan kenyataan berkaitan peletakan jawatan Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim atau Mat London serta memburuk-burukkan FDAM.
Jurey juga menyatakan hasratnya untuk menggugurkan mana-mana persatuan yang dianggap bermasalah.
Jurey nampaknya mengotakan kata-katanya apabila Mat London dipecat sebagai AJK Festival Filem Malaysia Ke-24 (FFM24) dan tempatnya digantikan Nancie Foo dan Wendy Wong.
Pemecatan itu bukan saja membabitkan Mat London malah Gafim juga bertindak menggantung FDAM sebagai anggota bersekutu mereka.
Mengikut kronologi, Mat London menghantar surat peletakan jawatan sebagai Presiden FDAM atas alasan masalah peribadi pada Mei lalu.
Pada Mesyuarat AJK FDAM pada 20 Mei pula, pihak berkenaan memutuskan sebulat suara menerima surat peletakan jawatan itu dan sebagai menghormati serta mengenang jasa Mat London, dia dilantik menjadi penasihat.
Keputusan itu nyata memberikan perasaan kurang senang pada Gafim sehingga surat tunjuk sebab diberikan kepada FDAM agar menjelaskan kedudukan Mat London dalam persatuan itu.
Hakikatnya Gafim selaku penganjur Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) turut dibantu FDAM bagi menyemarak acara berprestij itu. FDAM sendiri mengambil inisiatif menganjur acara Jelajah FFM24 di tiga lokasi sebelum ini - Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru.
Acara itu dinaungi Mat London yang bertanggungjawab sebagai pengerusi promosi dan publisiti FFM24 berjaya mencapai matlamat atas sokongan kerajaan negeri di tiga lokasi terbabit walaupun tiada bajet diperuntukkan Gafim.
AJK Promosi dan Publisiti FFM24, Omar Kalam, berkata, tindakan Gafim itu menimbulkan tanda tanya kepada ramai AJK dan anggota FDAM kerana tiada surat rasmi dikeluarkan berhubung perkara itu.
“Apabila Mat London dipecat daripada AJK Promosi dan Publisiti FFM24, ini bermakna secara tidak langsung AJK lain yang berada dalam unit itu juga digugurkan dan Jelajah FFM24 yang diadakan sebelum ini sebagai tidak sah.
“Saya mendapat tahu penggantungan ini diputuskan Gafim pada mesyuarat mereka pada 27 Oktober lalu. Apabila tiada hitam putih, kedudukan FDAM sekarang seperti digantung tidak bertali.
“Ketika Jelajah FFM24 diadakan, AJK tidak berasa sangsi dengan pendirian Gafim kerana ia disokong presidennya, Jurey Latiff Rosli yang bertindak selaku Pengerusi FFM24.
“Namun, apabila terjadi isu ini AJK dan anggota FDAM tidak tahu apa pula kesalahan yang dilakukan hingga persatuan ini digantung,” katanya.
Omar yang bertindak membantu FDAM menjayakan Jelajah FFM24 kesal dengan tindakan Gafim berhubung perkara ini dan berpandangan keputusan sedemikian tidak seharusnya dibuat secara terburu-buru.
“Apa yang menyedihkan, FDAM tidak diberi peluang berunding secara terhormat. Jurey ada hadir ketika Jelajah FFM24 di Ipoh tapi mungkin dia berkecil hati kerana tidak dapat duduk di barisan VIP dan menganggap Mat London melebihi dirinya hingga membuatkan keputusan itu diambil.
“Buat masa ini, FDAM hanya tunggu surat daripada Gafim berhubung penggantungan ini. Bagi FDAM, ia tidak jadi masalah jika dikeluarkan dari Gafim kerana mampu berdiri sendiri.
“Mengikut undang-undang persatuan, Gafim tidak boleh campur tangan dalam soal FDAM melantik Mat London sebagai penasihat.
“Sekarang bukan saja kedudukan FDAM menjadi persoalan, tetapi bagaimana FFM24 boleh mempunyai dua AJK Promosi dan Publisiti? Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan bijak,” katanya.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Donate to Wikileaks.
Link:
‘Bagai digantung tidak bertali’
- Category: Media
- Tags:arena, arkib-seminggu, fdam, festival, firefox, gafim, kongsi-artikel, london, news, opera, rap, sakit-puan












No Responses to “‘Bagai digantung tidak bertali’” Leave a reply ›