Cerita Artis Selebriti Malaysia hari ini,
AGAK lama peminat tidak mendengar perkembangan terbaru Azri Iskandar. Selepas berlakon filem Jangan Tegur, suami kepada Ellie Suriaty Omar ini menyepikan diri. Terbaru, Azri baru selesai membintangi filem Lagenda Budak Setan 2 yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.
Ditemui pada majlis pelancaran drama Rania Zara terbitan Saga Lines (M) Sdn Bhd ini arahan Kyoll Hamzah baru-baru ini, Azri mengakui mengorbankan seketika kerjaya lakonannya untuk menjaga anak di rumah. Apatah lagi ketika itu mereka berdepan masalah pembantu rumah yang kritikal.
“Dua tahun juga saya berehat, 2009 saya ada juga tawaran berlakon. Manakala tahun lalu langsung tiada. Bermula dari April 2009 saya mula jaga anak di rumah. 14 September tahun sama, Ellie melahirkan anak kedua. Memandangkan karier dia semakin bagus, saya setuju jaga sendiri anak.
“Tak dinafikan perasaan rindu untuk berlakon kerana itu sudah jadi rutin hidup saya tapi terpaksalah sabar seketika kerana memang susah untuk mencari pembantu rumah waktu itu. Kebetulan pula kerajaan kita sedang berunding dengan kerajaan Indonesia mengenai penghantaran pembantu rumah dari sana.
“Bagaimanapun, itu tak bermakna saya memencilkan diri kerana tetap mengikuti perkembangan yang berlaku dalam dunia seni. Maklumlah ia masih lagi jadi kerjaya saya. Kalau tak nak pun, seni sudah menjadi sebahagian hidup saya.
“Sebenarnya tak dinafikan tawaran ada juga datang, tapi saya terpaksa tolak kerana wataknya sama dan stereotaip sangat. Sebagai pelakon sudah semestinya saya inginkan kelainan dalam setiap watak yang dibawakan agar peminat puas hati,” katanya.
Mengakui kadangkala tercabar berada di rumah kerana sifat seorang ketua keluarga sepatutnya mencari rezeki, Azri mengakui tidak membuang masa begitu juga. Kebetulan Ellie sedang sibuk dengan projek filem pertamanya, Penanggal. Justeru dia banyak membantu mencari fakta yang diperlukan.
“Sambil jaga anak, saya bekerja keras cari fakta untuk watak Yusof dalam filem itu. Saya juga dapatkan info tahun 1930-an yang menjadi latar filem ini. Insya-Allah jika tiada halangan, penggambaran akan dimulakan pada pertengahan bulan ini kerana menunggu kepulangan Umi Nazeera yang berlakon sebagai pelakon utama.
“Sepatutnya penggambaran sudah lama berjalan tapi tertangguh kerana masalah teknikal. Sepatutnya filem ini menjadi kerjasama antara syarikat kami, Timang Tinggi Pictures tapi kami gagal mendapatkan dana dan terpaksa diserahkan kepada Tayangan Unggul yang bekerjasama dengan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB).
“Skripnya dah lama siap dan diajukan kepada Tayangan Unggul. Malangnya selama dua tahun kami tunggu kelulusan dana tapi tak berjaya. Akhirnya mereka nak terbitkan juga filem ini. Walaupun kecewa dengan apa yang berlaku, kami takkan mengalah dengan sabotaj pihak tertentu yang bertujuan menggagalkan usaha kami.
“Untuk filem ini, tumpuan saya hanya berlakon dan bukannya bekerja di sebalik tabir produksi kerana bimbang nanti tak boleh fokus. Lagipun Ellie minta saya tolong berlakon dalam filem ini. Lagipun kemampuan Ellie dah terbukti kerana dia pernah mengarahkan drama untuk VCD berjudul Seriau.
“Bagaimanapun, kami tetap berkongsi idea untuk filem ini agar ia menimbulkan kesan kepada peminat nanti. Apatah lagi ia menjadi pertaruhan besar Ellie untuk bergelar pengarah filem,” katanya yang berharap masyarakat me–nyokong filem itu.
Menjelaskan perasaannya bekerja di bawah arahan isteri sendiri, Azri berkata ia bukanlah satu masalah besar. Baginya soal perasaan ditolak tepi seketika kerana yang penting ialah kerja mereka berjalan lancar.
“Ketika bekerja, kami ada peranan masing-masing yang perlu digalas. Itu yang saya pegang setiap kali berlakon tak kiralah dengan sesiapa pun. Saya pernah bekerja dengan ramai pengarah wanita seperti Erma Fatima dan Shuhaimi Baba dan tiada masalah langsung. Mereka serius dalam kerja. Begitu juga Ellie yang dikenali bersungguh-sungguh dalam kariernya,” kata Azri.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you're reading it on someone else's site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Donate to Wikileaks.
Here is the original post:
Azri bantu isteri mengarah
- Category: Media
- Tags:ellie, facebook, firefox, harian-metro, opera, rap, sakit-puan, utama, versi-mobile












No Responses to “Azri bantu isteri mengarah” Leave a reply ›